Selasa, 7 Oktober 2014

7 TIPS KEJAYAAN TOKOH USAHAWAN TERKENAL SYED MUKHTAR AL BUKHARY

Assalamualaikum dan salam sayang semua... mari kita sama-sama mengetahui tip2 kejayaan dalam menjalani sesuatu perniagaan.. semoga daripada tips ini kita dapat menjadi lebih baik dalam mencapai matlamat sebagai seorang usahawan..
jom kita lihat...



TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY TAN SRI SYED

-Umur - 53 tahun
-Pendidikan - SPM
-Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
-Kekayaan -RM1,425 juta
-Ke 7 terkaya di Malaysia
-Ke 32 terkaya di Asia
7 Tip Kejayaan Bisnes dan Motivasi Syed Mukhtar Al Bukhary
Sejak dari kecil, beliau sudah memahami betapa pentingnya erti kejayaan dalam kehidupan. Kejayaan yang akan mengubah hidup diri serta keluarganya. Yakni mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan. Seterusnya menjadikan diri sebagai seorang usahawan kaya dan berjaya. Beliau adalah Tan Sri Syed Mukhtar Al Bukhary.Seorang usahawan Melayu yang cukup dikenali di mata masyarakat.Kisah kejayaan beliau menjadi inspirasi kepada golongan para usahawan. Namun apakah rahsia kejayaannya? Apakah prinsip kehidupan yang dipegang oleh Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dalam perniagaannya?
Berdasarkan analisis yang dikongsikan oleh beliau sepanjang kehidupannya berniaga, terdapat 7 tip kejayaan yang penting untuk diamalkan oleh para usahawan iaitu:
  • Usaha dan Tekun, Serta Sedar Ia Memakan Masa

Kejayaan itu prinsip asasnya adalah usaha. Setiap usaha pula memerlukan fokus, yakni membawa maksud kepada ketekunan. Hanya orang yang tekun sahaja mempunyai peluang untuk berjaya dalam perniagaan.
Dalam masa sama, usahawan perlu sedar tentang faktor masa. Dalam perniagaan, masa untuk memperoleh kejayaan yang diinginkan adalah berbeza-beza
  • Mengenali Kekuatan dan Kelemahan Diri

Usahawan yang hebat lagi berjaya adalah mereka yang jelas tentang kekuatan dan kelemahan diri. Kekuatan itu digunakan untuk memacu perniagaan ke tahap yang lebih baik. Dalam satu kajian yang dibuat, usahawan yang menggunakan kekuatan mereka untuk membangunkan perniagaan bukan sahaja mudah untuk berjaya.
Malah mereka akan mencapai tahap hidup yang bahagia dan kepuasan terhadap perniagaan yang dibangunkannya.
Buku Now Discover Your Strength yang ditulis oleh Mack Buckingham adalah buku rujukan yang bagus untuk para usahawan mengenal pasti apa kekuatan dalam diri mereka.
Manakala para pekerja atau rakan niaga boleh digunakan bagi mengatasi kelemahan diri.
  • Tidak Ada Jalan Singkat Dalam Perniagaan

Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary sering menyatakan, kejayaan dalam perniagaan tidak mempunyai jalan singkat. Setiap laluan dalam perniagaan yang kita pilih, mempunyai cabaran dan dugaan yang tersendiri.
Tambah beliau, orang yang lemah akan mengaku kalah. Bagi usahawan yang memiliki jiwa dan semangat yang kental, mereka akan menganggap setiap perjalanan itu sebagai pengalaman yang mengajar, untuk menjadi seorang pemilik bisnes yang lebih baik.
  • Kemewahan Bukan Motivasi Bisnes

Kereta besar, rumah besar, jam tangan mahal dan material-material mahal bukan faktor utama kejayaan usahawan.
Ia hanya menjadi salah satu daripada hadiah untuk membangkitkan motivasi dan meningkatkan estim diri. Kesilapan usahawan yang memulakan perniagaan untuk hidup mewah, akan membawa mereka kepada lembah hutang yang tidak berkesudahan.
Selain daripada Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary sendiri yang mengakui tentang isu ini, lagenda dunia teknologi dan gajet, Steve Jobs turut menyatakan,
“Perniagaan itu akan lebih berjaya dan hebat apabila kita melakukan apa yang kita cintai. Bukan tertakluk pada kemewahan semata-mata.”
  • Pangkat Dunia Juga Bukan Motivasi Perniagaan

Adakah kita berniaga kerana mahu memegang jawatan atau pangkat yang tinggi dalam syarikat?
Semua itu tidak mustahil. Namun kepuasan yang sebenar tidak bergantung pada ia semata-mata. Menurut beliau, sebab-sebab usahawan itu berjaya terletak pada:
· Keinginan yang kuat untuk hidup bebas.
· Ingin mencapai matlamat bebas kewangan.
· Ingin mengubah dunia menjadi lebih baik.
· Ingin mengisi jawapan kepada masalah yang dihadapi masyarakat.
  • Kejayaan Bisnes Itu Adalah Rezeki Allah

Walau apa jua cara yang kita usahakan dalam perniagaan, matlamat utama kita sebagai usahawan (khususnya yang beragama Islam) adalah mengingati bahawa setiap rezeki yang diturunkan itu adalah milik Allah.
Justeru itu, apabila kita memperoleh kejayaan walaupun kecil, ucapkan syukur dan lakukan kebajikan mengikut kemampuan agar kita memperoleh lebih banyak punca rezeki.
  • Berbisnes Kerana Agama

Dalam Islam, agama ini menuntut penganutnya untuk melakukan perniagaan. Kerana dengan perniagaan, kita mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang halal lebih banyak.
Dengan perniagaan, kita mempunyai peluang untuk bersedekah dengan nilai yang lebih banyak. Dengan perniagaan juga, kita mempunyai masa yang lapang untuk menunaikan ibadat-ibadat wajib dan sunat.
Oleh kerana prinsip-prinsip ini, Tan Sri Syed Mukhtar Al-Bukhary dilihat sebagai usahawan Melayu Islam yang begitu menonjol di mata dunia. Justeru itu, mengamalkan tip-tip yang dikongsikan beliau ini dapat meningkatkan keyakinan kita untuk lebih berjaya dalam perniagaan.
http://cpcmict2013.wordpress.com/keusahawanan/rahsia-kejayaan-usahawan
http://mokhtaralbukhary.blogspot.com/2008/02/tan-sri-syed-mokhtar-al-bukhary-tan-sri.html

Sabtu, 4 Oktober 2014

CERITA KEJAYAAN USAHAWAN CEMERLANG TAIB MUDA

Profil usahawan cemerlang

Nama : Taib Muda

Umur : 53 Tahun
 
Asal : Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu
 
Jawatan : Pengarah Urusan Orisahanif Enterprise
 
Pendidikan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Isteri : Suri@Ngah Taib


Mengenangkan kehidupannya yang miskin lebih 25 tahun lalu, siapa sangka beliau boleh menjadi jutawan hanya mengusahakan keropok.

Itulah pencapaian menakjubkan Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong yang tidak mengenal kegagalan atau putus asa dalam perniagaan bagi memastikan impiannya menjadi usahawan berjaya tercapai.

Bagi penggemar keropok kering dan lekor dari dalam dan luar Terengganu, produk Keropok Ori keluaran Pak Embong bukanlah asing kerana terkenal dengan keenakan dan keasliannya.

Pembabitan awal Pak Embong dari Kampung Kubang Bujuk, Serada, Kuala Terengganu, dalam bidang itu bermula pada 1985 apabila bertekad keluar daripada kepompong kemiskinan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau ketika itu yang bekerja sebagai buruh terpaksa menanggung tujuh anak dengan pendapatan tidak menentu. “Bayangkanlah dengan gaji sebagai buruh yang tidak seberapa saya terpaksa menanggung ramai ahli keluarga hingga ada ketika mengikat perut semata-mata untuk memastikan anak cukup makan dan pakaian,” katanya yang kini Pengarah Urusan Orisahanif Enterprisetika.

Selepas berbincang bersama isterinya, Suri Ngah Taib, 40, yang setia mengharungi kesusahan dihadapi mereka, Pak Embong mendapat ilham untuk memulakan perniagaan keropok kering dan lekor secara kecil-kecilan. Walaupun pernah ada kata-kata sinis dilemparkan kepada dirinya dan keluarga ketika memulakan perniagaan, ia dianggap sebagai asam garam dan pencetus semangat untuk terus berjaya.

Dengan bermodalkan RM200, beliau yang masih muda ketika itu membuang perasaan malu apabila sanggup mengayuh beca sejauh 25 kilometer setiap hari bagi mendapatkan bekalan ikan dari jeti Jabatan Perikanan di Pulau Kambing.

Menurutnya, keropok lekor yang siap diproses bersama isterinya itu dijual di sekitar kampung dan bandar Kuala Terengganu. Rutin mengayuh beca dengan menjaja keropok berterusan lebih sepuluh tahun sebelum keuntungan yang dikumpul dijadikan modal untuk membuka kedai menjual makanan tradisi itu di Paka, Terengganu dan Johor Bharu, Johor pada 2001. Bagaimanapun, perniagaan berkenaan diserahkan kepada rakan niaganya untuk diuruskan sebagai strategi memperkenalkan jenama Keropok Ori.

Walaupun terpaksa menempuh jatuh dan bangun, termasuk ditipu pada peringkat awal, ia bukan penghalang buat Pak Embong untuk terus bangkit memanfaatkan modal yang dikumpulkan untuk membuka kedai keropok di Kampung Losong Haji Su pada 2006 selain berniaga di pasar malam.

Ternyata usaha dan strateginya tidak sia-sia apabila keropok keluarannya menerima sambutan hangat, terutama daripada orang luar yang bertandang ke perkampungan berkenaan.

Menyedari potensi perniagaan terbabit untuk dikembangkan, Pak Embong berkata, beliau melebarkan sayap perniagaan dengan membuka empat lagi cawangan kedai keropok di Cameron Highlands, Pahang dan Gua Musang, Kelantan awal Januari lalu. Kini operasi perniagaan keropoknya berjalan lancar dan semua cawangan berkenaan memberi pulangan seperti diharapkannya dengan purata keuntungan RM30,000 sebulan.

Keuntungan itu juga mampu mencecah RM100,000 sebulan pada musim cuti sekolah dan perayaan. Dengan memegang prinsip `di mana ada kemahuan di situ ada jalan’, beliau kini boleh berbangga kerana usahanya untuk keluar daripada kancah kemiskinan berjaya, malah mampu memperoleh pendapat lumayan hasil perniagaan keropok.

Pak Embong sekarang banyak menghabiskan masanya mengurus semua cawangan kedai keropoknya selain turun ke padang bertemu pelanggan. Selain itu, bagi menampung permintaan tinggi bekalan keropok, beliau membuka pusat memproses yang berkemampuan menghasilkan satu tan keropok lekor dan kering setiap hari.

Walaupun hidup semakin mewah dengan hasil perniagaan keropok, Pak Embong tidak pernah melupakan kesusahan dilalui, terutama ketika terpaksa mengayuh beca untuk menjual keropok. Malah, beliau sanggup menggunakan beberapa kereta mewah miliknya seperti Mitsubishi Evolution, BMW dan pacuan empat roda mengangkut isi ikan yang siap diproses dari pusat memproses sebelum dihantar ke kedainya.

Bagi Pak Embong, kejayaan diperoleh umpama mimpi daripada seorang buruh kini dirinya mampu memiliki kehidupan lebih baik berbanding ketika mula-mula menjalankan perniagaan berkenaan. “Semuanya ini hasil daripada hasil doa selain keberkatan Tuhan terhadap usaha gigih saya untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

“Walaupun kejayaan ini tidak dikecapi dengan mudah, ia sebenarnya satu hikmah kepada saya supaya sentiasa menginsafi diri walaupun sudah berjaya,” katanya.Ternyata, pelawat yang datang ke Terengganu menjadikan kedai Pak Embong sebagai destinasi persinggahan yang pasti untuk membeli keropok kering dan lekor.

“Kebiasaannya bas rombongan menjadikan kedai kami ini sebagai pelengkap lawatan mereka bagi mendapatkan keropok yang enak sebagai santapan pulang ke negeri mereka. “Dengan harga munasabah dan dengan slogan 'Rasa Dulu Baru Beli' membuatkan pelanggan berasa selesa untuk mencuba sebelum membeli,” katanya.
Tips Usahawan Kreatif

Bantu pemuda menganggur, ibu tunggal
“Tiada jalan pintas untuk berjaya, saya sentiasa mengingatkan anak bahawa kehidupan yang selesa kini hasil keperitan hidup dan mereka perlu sentiasa menyedarinya,” kata Taib Muda, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Embong.

Taukeh keropok yang berasal dari Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu itu, berkata kejayaan dikecapi kini mengubah tanggapan orang ramai terhadap perusahaan keropok lekor dan kering yang dianggap tidak menguntungkan.

Beliau menganggap tujuh anaknya Sarita, 24, Mohd Tasbit, 22, Mohd Shahrul, 20, Mohd Arif, 19, Norliana, 18, Mohd Firdaus, 13 dan Mohd Hanif , 6, pencetus kekuatan untuknya terus berusaha. Pak Embong berbangga kerana tiga daripada anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi hasil titik peluhnya dalam perniagaan keropok.

Hasrat masa depannya untuk mengembangkan perusahaan keropok lekor Terengganu ke seluruh pelusuk tahan air, termasuk di Sabah dan Sarawak. Selain itu, beliau mahu membantu golongan miskin dan anak muda yang menganggur untuk menjadi usahawan keropok.

"Saya juga mempunyai wawasan untuk melihat anak muda yang menganggur, ibu tunggal serta pelajar lepasan sekolah berkecimpung dalam bidang perusahaan keropok lekor kerana mampu meningkatkan pendapatan isi rumah serta mengatasi pengangguran.

"Niat saya adalah ingin membantu masyarakat, terutama yang berminat untuk berniaga, namun tidak mengetahui cara serta langkah sewajarnya yang perlu diambil bagi memulakan sesuatu operasi perusahaan keropok,” katanya ketika ditemui.

Ini akan dilakukan secara francais dan beliau akan memastikan keaslian produk terjamin mutunya serta halal dimakan. Kata Pak Embong, beliau tidak lokek untuk berkongsi kemahiran kepada pengusaha baru. Menurutnya, beliau terharu apabila terpilih sebagai penerima anugerah usahawan cemerlang oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), baru-baru ini.

Beliau turut berterima kasih kepada AIM, Mara, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang banyak membantunya untuk mengembangkan perniagaannya.


http://usahawan-kreatif.blogspot.com/2010/01/orisahanif-enterprise.html%