Selasa, 4 November 2014

8 Kaedah Untuk Mencapai Keseronokan dalam menceburi atau melakukan sesuatu pekerjaan


           Anda tahu apakah formula hebat untuk kekal seronok setiap hari?
“Jadikan setiap hari sebagai hari yang baru. Lupakan hari yang lepas dan tumpukan pada hari ini dengan penuh fokus dan kesungguhan. Lakukan yang terbaik!”
1.      Menyusun jadual dan membuat perancangan yang strategik 
 Ia adalah merupakan sesuatu perkara yang wajib dalam mencapai kepuasan dalam sesuatu perkara tanpa sebarang kebosanan. Perancangan yang rapi perlu dibuat secara teliti, di mana segala kerja atau aktiviti yang perlu dilakukan berjalan dengan lancar dan menyeronokkan. Susunan jadual dibuat secara rapi supaya tidak ada sebarang kerja yang tergendala dan membuatkan anda berada dalam keadaan tertekan. Melalui tekanan, perkara yang seronok akan berubah menjadi sesuatu yang agak membosankan. Bertangguh ialah salah satu penyakit yang terbukti boleh merosakkan usaha perniagaan yang dilakukan. Tidak cukup hanya mempunyai jadual dan perancangan, pastikan anda melakukannya pada masa yang telah ditetapkan. 
 2.      Mempunyai sistem kerja yang bersistematik 
Antara faktor lain yang akan melancarkan usaha perniagaan anda ialah sistem. Ini bermaksud anda membuat satu panduan khas (dokumentasi) untuk gerak kerja yang tertentu seperti penghasilan produk, sokongan pelanggan, promosi dan juga pemasaran. Setiap perkara tersebut bukan sahaja perlu dijadualkan, tetapi anda juga perlu menyenaraikan setiap gerak kerja (task) secara bersistematik.  
3.      Ruang Kerja Yang Kemas,tersusun dan menarik 
 Setiap manusia suka akan sesuatu yang dapat menarik perhatian mereka. Oleh itu, anda haruslah memastikan ruang kerja anda kemas dan tersusun rapi agar ia kelihatan menarik. Sebagai seorang usahawan, seseorang itu harus mempunyai identiti yang menarik yang dapat dilihat daripada kaedah susunan dalam ruang kerja. Idea dapat dijana dan keputusan dapat dibuat  sekiranya anda memiliki ruang kerja yang lebih kemas dan tidak menyesakkan mata. Ruang kerja yang berselerak, tidak tersusun atau dipenuhi dengan sesuatu yang tidak perlu akan mengganggu fokus kerja seharian anda. 
4.      Ada Privasi (Ruang Dan Masa) 
Saya bahagikan perkara ini kepada dua jenis iaitu privasi daripada keluarga dan privasi daripada para pelanggan anda. Pada waktu bekerja di rumah, pastikan anda tidak diganggu oleh ahli keluarga. Perkara ini sedikit sulit untuk dilakukan, namun jika anda menerangkan mengenai kerja anda, sudah pasti mereka akan memahaminya. Seterusnya, semasa bukan pada waktu kerja, anda perlu mengelakkan daripada dihubungi oleh para pelanggan melalui talian telefon. Wujudkan polisi menjawab panggilan telefon hanya di waktu tertentu sahaja dan pada hari tertentu sahaja (Contoh: Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 5.00 petang). Tujuannya agar anda boleh beristirehat bersama ahli keluarga tanpa diganggu oleh sesiapa pun. Dengan adanya privasi (ruang dan masa anda sendiri), anda akan dapat melakukan kerja dengan lancar, fokus dan dengan penuh keseronokan. Manakala di saat anda bersama keluarga tanpa gangguan pihak luar, anda boleh mendapatkan kembali tenaga dan semangat untuk kegunaan di keesokan hari.  
5.      Ada Matlamat Dan Tujuan 
Pastikan usaha perniagaan anda mempunyai matlamat tersendiri sama ada untuk jangka pendek dan panjang. Contohnya, matlamat sehari anda ialah mendapatkan jumlah penghasilan sebanyak RM200, matlamat mingguan sebanyak RM1000 dan matlamat bulanan mendapat hasil sebanyak RM5,000. Manakala matlamat jangka panjang ialah mewujudkan sebuah empayar perniagaan yang berjaya. Namun, matlamat ini hanya sebagai panduan sahaja dan jangan jadikannya sebagai satu tekanan kepada anda. Anda hanya perlu mengikut jadual dan perancangan kerja yang ditetapkan sahaja tanpa terlalu memikirkan hasil (matlamat) yang disasarkan itu.  
6.      Tidak Berseorangan 
Anda mudah bosan dan berputus-asa jika berniaga keseorangan tanpa menjalinkan persahabatan dengan usahawan yang lain. Melalui jalinan persahabatan, anda mampu untuk meluaskan perniagaan dan mengeratkan hubungan sesama usahawan yang lain. selain itu, dapat berkongsi pelbaga info-info yang tidak diketahui.
7.      Tahu Bila Untuk Berehat 
Jangan terlalu kuat bekerja sehingga anda lupa untuk berehat, makan minum dan riadah. Tanpa istirehat yang cukup, anda mudah letih dan kemudian datanglah perasaan bosan. Setiap 30 minit bekerja, luangkanlah beberapa minit untuk melakukan regangan otot (senaman ringkas). Bagi seorang muslim pula, setiap kali masuknya waktu solat fardhu, segerakanlah ibadah tersebut yang pasti akan memberikan ketenangan yang maksima. Solat yang diakhiri dengan doa dan zikir, sudah pasti akan menguatkan lagi usaha perniagaan anda.  
8.      Hargai, Faham Dan Bangga Dengan Kerjaya Anda 
Jika anda tidak faham usaha perniagaan yang anda lakukan sekarang, anda akan mudah bosan. Keadaan ini adalah lawan kepada keseronokan. Pastikan anda memahami erti sebenar perniagaan anda dan tujuan anda melakukannya agar keseronokan itu mudah untuk anda miliki. Kemudian, anda perlu menjadi diri sendiri. Jika pendapatan usahawan lain adalah RM10,000 sebulan dan anda hanya RM5000 sahaja, jangan sesekali memperbandingkannya sehingga semangat anda lemah. Sebaliknya, jadikan mereka yang lebih berjaya itu sebagai teladan untuk anda lebih kuat berusaha. Akhir sekali ialah anda mesti bangga dengan usaha anda terutama jika anda melakukannya secara sepenuh masa.  
Kesimpulan 
Tanpa keseronokan, anda pasti akan melakukan kerja seharian tanpa hala tujuan, tidak bersemangat, cepat letih dan pendapatan bulanan anda pasti akan merosot. Jadi, pastikan anda memiliki keseronokan di dalam usaha perniagaan anda pada setiap hari dan selamanya agar kejayaan menjadi milik anda. 


https://www.facebook.com/notes/rakan-niaga-ceo/keseronokkan-bekerja-faktor-kejayaan-usahawan/101708616657746
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan